Pelajar bimbang gambar lucahnya tersebar


SAYA pelajar sebuah universiti awam dan akan menamatkan pengajian setahun lagi. Dulu saya remaja liar dan banyak melakukan dosa tetapi seiring dengan peningkatan usia, saya mulai berubah.

Saya sedar kesilapan lalu dan cuba sedaya upaya untuk mengamalkan hidup yang lebih baik. Namun, baru-baru ini kekasih lama menghubungi saya dan mengatakan dia masih memiliki gambar lucah saya. Saya bimbang gambar terbabit tersebar.

Pada masa sama, saya tidak sanggup mengenang kembali sejarah silam dan dilihat oleh orang lain. Saya merayu kepadanya supaya membuang gambar berkenaan tetapi dia enggan.

Malah, dia mencabar saya melaporkan hal itu kepada polis. Tolonglah saya, apa harus saya lakukan? Saya tidak mahu kisah silam saya diketahui keluarga. Saya juga tidak mahu membuat laporan polis kerana bimbang diketahui orang lain.

*Saya faham kebimbangan anda dengan kenyataan bekas kekasih yang masih menyimpan gambar anda dalam keadaan mengaibkan.

Namun tindakan berdiam diri bukan langkah bijak dalam menangani masalah itu. Ia gambaran seolah-olah anda akur terhadap ugutan bekas kekasih.

Saya bimbang dia akan bertindak lebih berani dan berniat mengambil kesempatan terhadap tindakan berdiam diri anda.

Sebagai seorang yang terpelajar, anda seharusnya lebih realistik. Jika sekarang dia tidak menyebarkan gambar berkenaan, tidak mustahil pendiriannya akan berubah sepintas lalu.

Oleh itu, seandainya mahu bebas daripada terus dibelenggu perkara lalu, adalah lebih baik anda berdepan masalah ini.

Bak kata pepatah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Bincang dan beranikan diri supaya tidak terus tunduk dengan ugutan itu. Nyatakan anda akan mengambil tindakan undang- undang jika dia bermaksud mengaibkan anda.

No comments:

Post a Comment