Aku suka dia

love

SAYA pelajar perempuan berumur 20 tahun yang menuntut di sebuah universiti di Mesir. Saya terpikat dengan seorang kawan lelaki sebaya. Kami berkawan seperti biasa tetapi semakin lama berkawan, saya rasa semakin minat terhadapnya.

Sikapnya yang budiman dan berpengetahuan tinggi dalam ilmu agama membuatkan saya jatuh hati padanya.

Masalahnya, dia tidak tahu saya menyukainya. Dia cuma menganggap hubungan kami sekadar teman rapat kerana dia tidak rapat sangat dengan pelajar perempuan lain melainkan saya.

Bagaimana saya nak meluahkan perasaan terhadapnya? Untuk pengetahuan, saya pemalu dan pendiam. Saya turut berharap hubungan saya dengan seorang lelaki tidak melanggar hukum syariat Islam.

*Mahu tapi malu, itu saya terfikir sebaik anda mengutarakan masalah. Anda berharap dia tahu isi hati anda tetapi anda segan untuk berterus terang.

Tidak salah untuk rasa malu kerana sesungguhnya malu itu separuh daripada iman dan saya memuji sifat pemalu anda, kerana sekurang-kurangnya ia memelihara kehormatan diri anda. Malah ada pendapat mengatakan malu ialah ‘perhiasan wanita yang tercantik’.

Namun konflik mula melanda sebaik anda jatuh hati. Anda tidak pasti sama ada terus diam memendam rasa atau berterus terang tetapi bimbang dikatakan gadis tidak tahu malu. Cuba anda renungkan satu falsafah cinta yang ingin saya kongsi bersama anda.

“Sungguh menyakitkan mencintai seseorang yang tidak mencintai dirimu, tetapi lebih menyakitkan mencintai seseorang dan kamu tidak pernah memiliki keberanian untuk meluahkan cintamu kepadanya.”

Pada pandangan saya, tidak salah untuk gadis meluahkan rasa suka pada lelaki diminati. Ini kerana memendam perasaan terutama perasaan cinta, sungguh sukar. Lebih baik berterus terang supaya hati tenang dan tenteram.

Wajar atau tidak perbuatan itu, anda yang tentukan. Jika masih malu, perhatikan kembali sirah Rasulullah mengenai kisah peminangan Rasulullah SAW oleh Siti Khadijah.

Justeru, faktor penting adalah memastikan anda meluahkan perasaan sambil menjaga kehormatan diri.

1 comment: