LENGAN KIRI HANCUR

Mesin pemerah kelapa yang menyebabkan tangan Aisy Mirza
 (gambar kecil) hancur di Kota Bharu, semalam.

Kanak-kanak masuk tangan dalam mesin pemerah kelapa

Kota Bharu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hancur lengan kirinya akibat mesin pemerah kelapa selepas ibunya terlupa mematikan suis mesin dalam kejadian di sebuah kedai ikan dan santan di Kok Lanas, di sini, semalam.

Mangsa, Aisy Mirza Mahadi, yang sering mengikuti ibunya, Nik Nur Aida Rozali, 26, ke kedai tempat kerja dikatakan memasukkan tangannya ke dalam mesin berkenaan tanpa disedari sesiapa.
Menceritakan kejadian berkenaan, Nik Nur Aida berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, dia segera berlari ke arah Aisy Mirza dan berusaha mengeluarkan lengan kiri anaknya daripada mesin pemerah.

Nampak tulang

Katanya, dia bertambah panik apabila kecederaan dialami anaknya parah sehingga menampakkan tulang dan darah mengalir dengan banyak.

“Ketika itu dia cuma sebut mama, mama, tidak menjerit dan menangis pun, tetapi selepas saya keluarkan tangannya dia mulai menangis. Dia kemudian cuba melihat kecederaannya, namun saya segera menutup pandangannya.

“Darah mengalir sehingga membasahi baju saya sebelum membalut lengan anak dengan tuala. Panik dengan kejadian itu, saya membonceng motosikal bersama orang yang ada di situ ke klinik di Kok Lanas, namun, diminta pergi ke Ketereh.
“Saya kemudian diminta ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan dan tiba kira-kira jam 5 petang,” katanya, ketika ditemui di HRPZ II di sini, semalam.

Lupa tutup suis

Mengulas lanjut, Nik Nur Aida berkata, selalunya dia akan mematikan suis mesin berkenaan selepas selesai mencucinya, namun, pada hari kejadian dia pergi ke arah paip air sehingga terlupa berbuat demikian.

“Saya tidak sangka dia akan memanjat kerusi dan memasukkan lengannya dalam mesin itu. Selalunya dia hanya bermain di sekitar kawasan kedai dan tengok ikan,” katanya yang bekerja mengambil upah di kedai ikan dan santan itu sejak sebulan lalu.

Ditanya mengenai kecederaan anak tunggalnya itu, Nik Nur Aida berkata, tiada apa boleh dilakukan kerana tulang lengan anaknya hancur.

No comments:

Post a Comment